DONGGUAN: Wira Piala Ryder, Ian Poulter muncul pemenang pada Kejohanan WGC-HSBC yang menawarkan hadiah bernilai AS$7 juta (RM21.3 juta) selepas mencatat tujuh bawah par 65 untuk menamatkan hari terakhir yang penuh mendebarkan di Mission Hills China.
Sensasi England itu memulakan pusingan terakhir dengan ketinggalan empat pukulan tetapi berjaya membenam lapan birdie dengan satu bogey pada dua lubang terakhir sebelum diumumkan sebagai pemenang dengan kelebihan dua pukulan.
Poulter mencatat 69, 68, 65 dan 65 sepanjang saingan untuk jumlah keseluruhan 21 bawah par 267 dengan Phil Mickelson, Ernie Els, Jason Dufner dan Scott Piercy berkongsi tempat kedua.
Pendahulu Louis Oosthuizen dan Lee Westwood ketinggalan satu pukulan bersama-sama Adam Scott untuk tempat kelapan sementara juara bertahan, Martin Kaymer kesembilan dan Bill Haas ke-10.
Poulter meraih wang tunai AS$1.2 juta (RM3.6 juta) menerusi kejuaraan individu pertamanya musim ini dan ke-15 sepanjang kariernya, kira-kira hampir sebulan selepas menjadi tonggak penting membantu Eropah memenangi Piala Ryder di Medinah.
"Selepas Piala Ryder, saya hadir ke sini dengan semangat yang tinggi. Saya beraksi dengan baik minggu lalu dan cuba meneruskan rentak sama pada minggu ini.
"Saya cuba bersabar sehingga penghujung saingan. Sudah pasti amat menarik kerana dapat sekali lagi meraih kemenangan.
"Hari yang amat istimewa dan saya tahu dapat beraksi dengan baik di lapangan ini," katanya.
Westwood dan Oosthuizen memulakan saingan dengan kelebihan tiga pukulan berbanding peserta lain, tetapi bogey yang dicatat sensasi Afrika Selatan itu pada lubang pertama, menjejaskan kedudukannya.
Westwood mendahului dua pukulan biarpun dia melakukan double bogey pada lubang kelima, tetapi membenam birdie pada par tiga lubang kelapan.
Tetapi Poulter dan Mickelson mula bangkit dan ketika Westwood mencatatkan bogey pada lubang ke-10, mereka menyertai peserta England dan Oosthuizen dalam senarai pendahulu.
"Saya berasa yakin apabila saya berada pada prestasi terbaik. Saya gembira kerana dapat menjulang satu lagi trofi," kata Poulter. - AFP
0 Komen:
Catat Ulasan