JIKA disuruh cari mana satu orangnya berdasarkan gambar ketika dia mula bekerja selepas tamat pengajian di universiti dulu, memang tidak jumpa. Wajah terkini Muzamir, 39, sangat berbeza dengan gambar yang ditunjukkan, membuatkan kami tidak percaya melihat perubahannya.
Bekas jurutera yang menjalankan perniagaan sendiri itu juga mengakui, ramai kawan terkejut melihat wajahnya kini terutama yang sudah lama tidak jumpa. Mukanya tampak bengkak, hidungnya pula menjadi besar dan tebal.
"Masalah saya dikesan pada 1998. Masa itu muka dan tangan saya sudah bengkak. Saya tidak tahu mengapa kerana saya tidak pernah sakit. Saya juga tiada masalah alahan. Tanda yang paling ketara ialah saiz kasut. Daripada saiz lapan, kini saya pakai kasut saiz 15! Mujurlah pembesaran kaki saya berhenti pada saiz 15 sebab susah nak cari kasut yang besar.
"Bermula tahun 2000, wajah saya sudah nampak lain. Saya seorang yang aktif bersukan dan selalu bersenam di gimnasium. Setiap kali selepas bersukan sama ada berjoging atau bermain bola sepak, sendi saya rasa sakit dan bengkak.
"Saya hairan kerana cepat berasa letih dan mengantuk pada waktu siang sedangkan saya seorang yang aktif. Rupa-rupanya saya juga mengalami masalah apnea tidur yang menyebabkan saya kerap terjaga pada waktu malam," katanya.
Bapa kepada tiga anak comel itu memberitahu, tidak tahan dengan keadaan
yang sering membuatkan dia lesu dan tidak selesa, Muzamir berjumpa doktor
dan dia kemudiannya dirujukkan kepada pakar endokrinologi.
Hasil pemeriksaan, didapati ada ketumbuhan bersaiz dua sentimeter pada kelenjar pituitarinya - punca yang menyebabkan semua gejala akromegali yang dialaminya. Siapa sangka orang aktif bersukan sepertinya turut mengalami masalah akromegali. Namun dia pasrah dengan ketentuan Allah. Dia diberikan ubat dan menjalani dua pembedahan bagi membuang ketumbuhannya itu.
"Risau juga kalau anak saya mendapat masalah yang sama tetapi doktor beritahu, akromegali bukan penyakit keturunan. Walaupun wajah saya sudah berubah, saya tetap bersyukur kerana tiada masalah kencing manis atau darah tinggi seperti kawan-kawan lain," katanya sambil tersenyum.
Jururawat, Ida Roziani Abu Samah, 28, pula mula mengalami masalah tekanan darah tinggi pada usia 19 tahun selain kerap sakit sendi. Cincin kesayangannya tidak muat, saiz kasut bertambah daripada 37 kepada 42 dan paling membuatkan dia susah hati ialah berat badan bertambah daripada 50 kilogram kepada 68 kilogram!
"Saya ambil ubat darah tinggi tetapi ia langsung tidak berkesan. Bertahun-tahun makan ubat, keadaan tidak berubah. Bila jadi gemuk, saya memang susah hati kerana kegemukan boleh mengundang pelbagai penyakit lain.
"Pada masa sama, saya juga mula mengalami masalah berpeluh keterlaluan sehingga kadangkala terasa badan seolah-olah berminyak. Selepas lapan tahun keadaan itu berterusan akhirnya doktor mencadangkan saya menjalani ujian hormon pertumbuhan (GH) dan ternyata parasnya tinggi," katanya.
Enam bulan selepas menjalani pembedahan, masalahnya berulang semula dan dia menunggu giliran untuk menjalani rawatan radioterapi.
"Saya mungkin perlu menjalani pembedahan kedua, bergantung kepada keputusan ujian imbasan MRI," sambungnya dengan penuh semangat.
Masalah yang dihadapi Azizul Khairi Osman, 27, lebih berat. Ketika berumur 17 tahun dia sering mengalami sakit kepala sehingga kadang-kadang membuatkan dia menangis.
Pada mulanya doktor menyangkakan dia mengalami masalah migrain dan selama dua tahun dia diberikan rawatan untuk mengurangkan sakit kepalanya. Namun apabila penglihatannya mula kabur dan matanya pula tersembul keluar sedikit, barulah dia dirujukkan kepada pakar endokrinologi.
"Doktor kata ketumbuhan pada kelenjar pituitari sudah besar dan menekan saraf mata yang membuatkan saya kerap sakit kepala dan muntah. Dua bulan saya dimasukkan ke hospital dan selepas pembedahan, tiga minggu saya tidak sedarkan diri. Saya juga pernah diserang sawan selepas pembedahan yang membuatkan doktor jadi kelam kabut.
"Oleh kerana ketumbuhan itu besar, doktor hanya boleh buang separuh melalui dua pembedahan pada 2003 dan 2005. Walaupun sekarang penglihatan saya banyak terjejas, saya tetap bersyukur masih sihat," katanya.
Ibunya, Sawiyah Banda yang menemaninya sentiasa tersenyum walaupun dua lagi anak lelakinya turut disahkan mengalami masalah akromegali. Dia perlu tabah supaya anak-anak kuat semangat meneruskan kehidupan walaupun mengalami pelbagai kekurangan.
Untuk saling memberi semangat, pesakit akromegali dan keluarga menubuhkan kumpulan sokongan MyACRO sebagai saluran bagi mereka berkongsi pengalaman dan kata perangsang. Untuk maklumat lanjut mengenai penyakit dan kumpulan sokongan, sila layari www.mems.my.
0 Komen:
Catat Ulasan