Home » » Aida yakin Putera Rayyan

Aida yakin Putera Rayyan

KISAH legenda Bawang Putih Bawang Merah sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Asean terutama di Malaysia dan Indonesia yang lebih dikenali sebagai negara serumpun.
Ia mengisahkan Bawang Putih yang kehilangan ibu bapa dan terpaksa duduk di bawah jagaan ibu tiri serta saudara tiri yang membenci�nya. Namun akhirnya Bawang Putih berkahwin dengan putera raja dan hidup gembira dalam istana.

Idea inilah yang cuba diangkat penerbit, A Aida menerusi drama terbarunya, Putera Rayyan yang menemui peminat menerusi slot Samarinda TV3 sejak 31 Oktober lalu.

Drama lakonan Kamal Adli sebagai Putera Rayyan dan Nad Zainal sebagai Arisa terbitan A Aida Production ini mungkin dianggap klise pada sesetengah orang tetapi Aida menegaskan banyak elemen menarik disuntik agar peminat mengikutinya.

"Ceritanya memang seakan kisah Bawang Putih Bawang Merah tapi saya lebihkan tumpuan kepada watak Putera Rayyan agar melekat di hati peminat. Sebenarnya kisah ini dibuat untuk slot Lagenda tapi memandangkan slot ini sudah tiada, konsepnya terpaksa diubah.

"Skripnya terpaksa dirombak semula dengan watak Putera Rayyan dikembangkan. Dia terpaksa mengembara mencari seorang gadis sesuai untuk dijadikan isteri.

"Tanggungjawab untuk buat skrip diserahkan kepada Wan Mahani kerana dia ada sentuhan yang baik. Saya percaya hasilnya drama ini akan menjadi ikutan peminat nanti," katanya di majlis ramah mesra bersama pelakonnya di Restoran Rebung, Bangsar baru-baru ini.

Aida yang pernah menghasilkan telefilem untuk slot Cerekarama mengakui seronok apabila syarikatnya diberi peluang menghasilkan drama bersiri pertama untuk TV3. Dia sanggup berbelanja besar dengan mengeluarkan kos RM450,000 untuk Putera Rayyan.

"TV3 setuju kami tonjolkan Kamal Adli, Nad Zainal, Zila Bakarin. Mereka juga mahukan kuda dan kereta mewah digunakan. Semuanya saya penuhi. Saya untung tak banyak tapi saya sangat puas hati kerana hasilnya sangat berbaloi dengan apa yang dikeluarkan," katanya.

Drama arahan Murali Abdullah ini mengisahkan seorang pemuda yang mahu menuruti pesanan terakhir ayahnya untuk memilih salah seorang antara dua orang anak perempuan Datuk Norman sebagai calon isterinya.

Namun hasrat Putera Rayyan tidak dipersetujui bondanya, Tengku Mariam yang sudah ada calonnya sendiri yang berasal daripada kerabat diraja. Tengku Mariam nekad untuk menggagalkan rancangan suami dan anaknya dengan pelbagai taktik.

Untuk kenal dengan lebih dekat bakal isterinya, Putera Rayyan menyamar sebagai pekerja biasa di syarikat Datuk Norman di mana Arisa dan Anisa turut bekerja.
Arisa melayan Putera Rayyan dengan baik berbanding Anisa yang sombong dan lebih pentingkan kedudukan dan darjat. Anisa berkongsi perangai buruk seperti ibunya, Nora, isteri kedua Datuk Norman.

Kamal memberitahu, walaupun tidak susah membawakan watak yang diberikan, ini pengalaman pertamanya berlakon sebagai putera raja kerana kebiasaannya dia berlakon watak biasa dan mat rempit.

"Wataknya boleh dikatakan susah dalam senang. Biarpun ceritanya ringan, penghujung�nya agak berat dan ada konflik sendiri. Saya dah pernah berlakon dengan Nad dan terbukti dia memang bagus. Saya juga ada pengalaman bekerja dengan Murali dan dia hebat dalam pelbagai aspek.

"Malah dia juga pandai memainkan emosi pelakon wanita untuk menangis seperti yang dimahukan," katanya.

Selain Kamal dan Nad, drama 23 episod yang disiarkan jam 10.30 malam ini turut menampilkan Miera Lyana (Anisa), Luftya (Tengku Suraya), Aida Aris (Nora), Zila Bakarin (Tengku Mariam), Razali Hussin (Zul) dan Zuhairi Ibrahim (Datuk Norman).

Mula meraih perhatian peminat menerusi drama Memberku Hawa dan Bukan Bidadari, Farah Nadia Zainal Abidin atau Nad Zainal, 22, mengakui sukar menjayakan watak Arisa yang menuntutnya banyak bermain dengan emosi dalaman.

"Mungkin sudah rezeki saya selalu dapat watak wanita malang dan mengalami tekanan jiwa. Dalam drama ini, Arisa mengalami tekanan jiwa akibat didera ibu dan adik tiri serta ibu mentua yang tidak pernah merestui perkahwinannya dengan Putera Rayyan," katanya.



Terima kasih kerana membaca Aida yakin Putera Rayyan. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan