Penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) yang akan dilancarkan esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mendapat sambutan positif dengan lebih 1,000 jemputan bakal hadir pada majlis perjumpaan pemimpin dengan 'warga pondok' yang julung kali dianjurkan.
Perkara itu disahkan Penasihat YPP1M, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang turut terkejut dengan maklum balas tidak dijangka daripada pengurusan pondok yang mengalu-alukan usaha penubuhan YPP1M sebagai mengiktiraf sumbangan pengajian pondok dalam pembangunan pendidikan negara.
"Alhamdulillah, sambutan diberi sungguh memberangsangkan dan mereka yang dimaklumkan mengenai YPP1M menyambut baik usaha itu. Malah, bersemangat untuk hadir menjayakan majlis yang meraikan warga pondok," katanya kepada BH.
Cetusan idea Perdana Menteri
YPP1M adalah cetusan idea Perdana Menteri yang juga penaung yayasan, sebagai menghargai jasa dan bakti ulama, tok guru serta mudir melahirkan generasi pelajar yang mahir ilmu agama dan pengajian al-Quran.
Aktiviti awal yayasan ialah mewujudkan pangkalan data yang memuatkan maklumat terkini institusi pondok di Malaysia. Kerja bancian peringkat pertama dimulakan pada Julai lalu dan pendaftaran awal diterima pada Ogos.
Sebanyak 110 pondok yang berdaftar di seluruh negara dimasukkan dalam direktori bergambar itu untuk rujukan masyarakat pada masa depan. Direktori itu juga bakal dilancarkan pada majlis berkenaan bersama logo dan laman web YPP1M.
Perdana Menteri juga akan menyampaikan Anugerah Tokoh Pondok 2012 dan Anugerah Pondok Contoh 2012 kepada pengasas, tenaga pengajar serta pondok yang berjaya meneruskan kelangsungan konsep pendidikan pondok hingga melahirkan modal insan berkualiti.
Selain itu, pondok terpilih akan menerima Anugerah Kasih iaitu bantuan segera yang disalurkan bagi memperbaiki prasarana di pondok mereka.
Bantu perluas institusi pengajian pondok
Dr Mashitah berkata, penubuhan YPP1M diharap dapat membantu memperkembangkan institusi pengajian pondok yang terus mendapat perhatian masyarakat yang mengiktiraf kaedah pengajian pondok dalam melahirkan generasi berilmu.
Justeru katanya, tidak wajar usaha transformasi keinsanan yang membuktikan keprihatinan pemimpin kepada institusi pondok yang dipelopori ulama serta pewarisnya disalah erti pihak yang skeptikal.
"Tidak sepatutnya timbul persepsi kerana pengajian pondok adalah institusi pendidikan yang disanjung tinggi dan hasrat yayasan ialah mewujudkan ruang menemukan warga pondok dengan masyarakat umum.
"Selama ini maklumat mengenai pondok disebarkan dari mulut ke mulut, tetapi dengan adanya direktori, mereka yang berminat belajar di pondok boleh mendapatkan maklumat dengan mudah," katanya.
Beliau juga ingin memperbetulkan salah faham sesetengah pihak khususnya mereka yang tidak mendapat maklumat, tetapi membuat andaian penubuhan YPP1M bakal menggugat kebebasan pengurusan pondok yang selama ini berdiri sendiri.
Katanya, salah faham itu mungkin menjadi punca sesetengah pondok yang ditemui untuk proses bancian menolak pelawaan supaya maklumat pondok mereka dimasukkan dalam direktori diterbitkan YPP1M.
Tak campur tangan sistem pentadbiran
Dr Mashitah menegaskan, yayasan tidak akan campur tangan dalam sistem pentadbiran atau pembelajaran yang diamalkan institusi pondok sejak dulu hingga kini kerana itu adalah kriteria yang menjadikan pendidikan pondok begitu unik.
Cuma katanya, jika golongan lain boleh berada atas satu landasan, kenapa ulama dan tok guru pondok tidak boleh berganding bahu terutama dalam usaha mempertingkatkan kefahaman agama Islam kepada masyarakat umum.
"Jika ada isu berbangkit mengenai kepentingan umat Islam bagaimana tok guru pondok boleh menyalurkan pandangan mereka. Contohnya, apabila bukan Islam menghina Nabi Muhammad SAW, bagaimana kita nak bagi fahaman.
"Adanya gabungan ulama termasuk dari pondok, kita boleh ada perancangan serta strategi bagi menangani isu ini. Kita tidak mahu tok guru hanya popular dalam kalangan masyarakat setempat saja kerana mereka juga boleh membantu ummah. Kita tidak dapat menyangkal ulama pondok amat dihormati dan dipandang tinggi," katanya.
0 Komen:
Catat Ulasan