Kota Bharu: Kelantan harus bersedia mempertahankan tiga kejuaraan - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia - yang dimenangi musim ini pada musim depan biarpun kemungkinan hilang penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha yang sedang dipancing Johor.
Penolong jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, jika benar Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo berpindah ke Johor, ia tidak boleh dijadikan alasan kepada barisan The Red Warriors gagal mempertahankan kejuaraan hatrik itu.
"Dalam bola sepak, kerjasama satu pasukan adalah perkara paling penting dalam memburu kejayaan dan ia tidak hanya bergantung pada seorang pemain saja.
"Bagi saya jika Mat Yo berpindah ke pasukan lain musim depan, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan mempertahankan status The Red Warriors sebagai pasukan digeruni," katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, Zahasmi berharap Mat Yo dapat membuat keputusan terbaik demi masa depannya sebagai pemain profesional.
Katanya, keputusan terletak pada Mat Yo sama ada mahu kekal atau berpindah bersama pasukan lain, namun perlu diingatkan pemain itu masih mempunyai kontrak selama setahun lagi dengan Kelantan dan khidmatnya masih diperlukan.
0 Komen:
Catat Ulasan