Yan: Penantian seorang nenek tiga cucu untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 40 tahun lalu, tercapai semalam.
Hasanah Abdullah, 55, menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak, di sini, sebagai calon persendirian.
Beliau yang juga guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Masjid al-Amin Sungai Layar, Sungai Petani adalah seorang daripada 147 calon persendirian dari Sekolah Menengah Langkasuka (SML), Guar Chempedak, yang menduduki SPM di negeri ini.
Detik bersejarah
Hasanah ketika ditemui menyifatkan ia detik paling bersejarah dalam hidupnya selepas beberapa kali gagal untuk mengambil peperiksaan yang ketika itu dikenali sebagai Malaysia Certificate of Education (MCE) kerana perlu memikul tanggungjawab menjaga enam adiknya selepas kematian ibu ketika berusia 15 tahun.
Beliau berkata, dia hanya sempat bersekolah sehingga Tahun Enam sebelum diminta berhenti sekolah oleh bapanya kerana beberapa faktor termasuk keadaan keluarga yang susah ketika itu.
Katanya, sejak itu dia tetap menyimpan hasrat untuk mengambil MCE namun niat itu terpaksa dilupakan apabila ibunya meninggal dunia.
Pujuk ayah ambil MCE
"Saya sering memujuk ayah untuk membenarkan saya mengambil MCE namun beliau tidak membenarkannya kerana saya perlu menjaga adik-adik yang masih kecil dan memerlukan perhatian ketika itu.
"Walaupun hati teringin untuk mengambil MCE, saya terpaksa memendamkannya kerana tidak mahu menyusahkan keluarga dan adik-adik yang amat memerlukan saya ketika itu," katanya ketika ditemui sebelum melangkah masuk dewan peperiksaan di sini, semalam.
Mengenai peluangnya, Hasanah, yang mengambil subjek teras dengan tambahan Bahasa Arab dan Tasawur Islam yakin mampu menempuh SPM.
Rabun bukan penghalang
Di Rantau Panjang, rabun teruk sejak dilahirkan tidak menghalang Mohd Affandi Arifin, 17, untuk menduduki SPM.
Pelajar aliran sains tulen Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang (SMKRP) itu mendaftar untuk menduduki 10 subjek dan berazam memperoleh keputusan terbaik.
"Penyakit rabun ini menyebabkan saya diberi kertas soalan peperiksaan yang bersaiz lebih besar daripada calon lain untuk memudahkan membaca," katanya anak sulung daripada empat beradik itu.
"Cabaran yang saya hadapi adalah apabila menggunakan buku rujukan dan latihan sama seperti pelajar normal iaitu bertulisan kecil, saya perlu membaca dengan mendekatkannya ke muka selain terpaksa meminjam nota daripada kawan bagi menyalin nota yang ditulis guru di hadapan kelas.
Di Georgetown, empat calon, termasuk dua perempuan, menduduki kertas Bahasa Malaysia (BM) 1 dan 2 di Hopital Pulau Pinang (HPP).
Nurfatin Najwa Mohd Fuad dari Penaga baru saja selesai menjalani pembedahan apendiks beberapa hari lalu, manakala seorang lagi calon, Hanif Mohd Shaferi dari Balik Pulau kemalangan jalan raya bulan lalu.
Di Ipoh, 19 anggota Tentera Darat menduduki SPM daripada keseluruhan 44,291 calon yang mengambil peperiksaan itu di Perak.
Mereka yang berusia antara 23 hingga 27 tahun hadir ke dewan peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, di sini, seawal jam 7 pagi dengan lengkap berpakaian seragam.
Kehadiran mereka, sebagai calon persendirian, menarik perhatian lebih 150 calon yang menduduki SPM di sekolah itu.
Bukti kemampuan diri
Mohd Azree Mohd Fauzi, 27, dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Sangro, Taiping mengakui teruja untuk menduduki peperiksaan itu selepas hampir 10 bulan menelaah pelajaran di Kem 2 Briged, di sini.
Beliau yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata mula memasuki Pusat Pendidikan Wilayah (PPW) 2 Briged selepas melepasi tapisan untuk menjalani program pembelajaran di kem berkenaan.
"Selepas hampir tujuh tahun berkhidmat, sudah tiba masanya untuk saya membuktikan kepada keluarga bahawa saya mampu menduduki peperiksaan itu walaupun hanya menamatkan persekolahan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.
0 Komen:
Catat Ulasan