Home » » 'Bukan RM1 juta’'

'Bukan RM1 juta’'

KAFA tegaskan nilai sebenar tebus kontrak Mat Yo bukan hanya gaji tapi turut babit tajaan dan kos lain

Kuala Terengganu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menegaskan tidak pernah meletakkan tanda harga RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bagi menebus kontrak penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) atau Mat Yo.
Masih misteri

Kami tidak pernah meletakkan jumlah RM1 juta atau apa saja harga kepada mana-mana pasukan termasuk Johor," Datuk Rosmadi Ismail, Naib Presiden KAFA
Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail, berkata jumlah sebenarnya masih misteri dan pihaknya tidak tahu bagaimana nilai RM1 juta itu boleh tersebar luas di media.


Rosmadi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri, berkata KAFA juga belum memutuskan sama ada melepaskan atau menyimpan penyerang kelahiran Besut, Terengganu, yang baru dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik dan Pemain Terbaik Liga Malaysia (Liga M) buat kali ketiga berturut-turut.

"Laporan berita asyik menyebut jumlah RM1 juta yang perlu dibayar kepada Kelantan sekiranya mahu menebus balik kontrak Mat Yo yang masih berbaki lebih setahun.
"Namun, kami tidak pernah meletakkan jumlah RM1 juta atau apa saja harga kepada mana-mana pasukan termasuk Johor," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, semalam.

Kata Rosmadi, KAFA cuma bersetuju melantik peguam supaya dapat meneliti kontrak Norshahrul dan melihat sekiranya ada peluang kepada penyerang itu membeli balik kontraknya sekiranya dia mahu meninggalkan The Red Warriors lebih awal.

Beliau mengakui terdapat perbincangan awal antara Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim, dengan rakan sejawatannya di Johor sebelum ini mengenai peluang penyerang berusia 26 tahun itu meninggalkan Kelantan.

"Namun, itu cuma perbincangan antara dua setiausaha persatuan negeri dan KAFA sudah pun menolak tawaran PBNJ mendapatkan Mat Yo.

"Bagaimanapun, PBNJ mahu meneruskan usaha mereka, kami bersetuju untuk meneliti kembali kontrak Mat Yo dan peguam kami sekarang sedang memastikan yang terdapat klausa yang membenarkan pemain itu menebus kembali kontraknya," katanya.

Kata Rosmadi, pembelian balik kontrak bukan saja tertumpu kepada jumlah gaji yang diterima pemain kerana apa juga bentuk penajaan yang diterima pemain itu sepanjang bersama Kelantan perlu juga diambil kira.

"Begitu juga dengan 'opportunity cost' (kerugian peluang) yang perlu ditanggung oleh kami sekiranya Mat Yo mahu meninggalkan kami setahun lebih awal dan semua itu perlu diambil kira dalam proses penebusan kontraknya nanti.

"Namun, kita mempunyai banyak masa lagi kerana tarikh akhir pendaftaran pemain untuk liga musim depan masih berbaki lebih sebulan lagi dan apa saja boleh berlaku sepanjang tempoh itu," katanya.


Terima kasih kerana membaca 'Bukan RM1 juta’'. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan