Home » » Pena Kampus: Tanggungjawab YB kampus

Pena Kampus: Tanggungjawab YB kampus

"TERIMA kasih kerana memilih pro-Aspirasi". Begitulah antara petikan ayat yang dilontarkan ikhlas Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2013, baru-baru ini.
Ucapan penghargaan spontan beliau itu membuktikan harapan seorang pemimpin nombor satu negara kepada kepimpinan anak muda terus menjadi pendukung kesinambungan kepemimpinan negara.
Daripada 20 IPTA yang melaksanakan pilihan raya kampus, baru-baru ini, 18 daripadanya memihak kepada calon prokerajaan.

Bagi penganalisis politik dan pemerhati sosial, sungguhpun dengan kehangatan isu pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang (kononnya) dibimbangi menghangatkan pilihan raya kampus, pilihan raya IPTA berjalan
serentak membuktikan sebaliknya.
Beberapa universiti yang menjadi kubu kuat calon pro-Mahasiswa tewas kepada calon pro-Aspirasi.

Namun, isunya bukanlah kalah menang tetapi keputusan ini satu ujian serta cabaran besar kepemimpinan pelajar di semua IPTA.

Dikatakan bahawa keputusan pilihan raya kampus yang diadakan hampir serentak di semua IPTA adalah realiti gambaran yang dijadikan kayu ukur mengenai kecenderungan penerimaan orang muda terhadap pembaharuan kerajaan pemerintah.

Bagi penulis, walau dengan apa label sekalipun, sama ada mereka ini prokerajaan atau propembangkang dan mungkin 'atas pagar', hakikatnya mahasiswa
yang diangkat menjadi Yang Berhormat (YB) kampus kini menggalas satu tanggungjawab berat ke arah merealisasikan aspirasi dan harapan warga menara gading.

Gelaran YB kampus bukan sesuatu yang boleh dibanggakan hanya disebabkan mencapai populariti menjadi 'orang penting' dalam universiti.

Di sebalik kemenangan itu, janji dan manifesto harus ditepati setiap penyandang jawatan dalam barisan kepemimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Ini menuntut kepada kematangan, daya fikir baik, semangat tinggi, idea bernas serta tindakan konsisten yang berpaksikan kepada kualiti pencapaian.

Barisan kepemimpinan MPP yang baru dilantik perlu bekerja keras, memastikan pembangunan mahasiswa di kampus menepati acuan dasar universiti dan mengikut landasan pembangunan modal insan yang digariskan kerajaan.

Kepemimpinan MPP harus menjadi wadah yang berguna kepada warga kampus dalam menyuarakan hak keperluan ketika belajar di universiti.

Walaupun dalam beberapa keadaan kedengaran isu di mana barisan kepemimpinan MPP yang terlalu idealis 'mengganggu' dasar universiti dan kerajaan, pendekatan berhemah seharusnya dipraktikkan agar dapat membentuk penyelesaian yang memanfaatkan seluruh warga kampus tanpa mencetuskan konflik.

Inilah yang dikatakan pemimpin pelajar sebagai penghubung antara mahasiswa, universiti dan kerajaan. 'Darah muda' bukan lagi pegangan mitos yang seharusnya dijadikan alasan untuk berkelakuan kurang matang, terburu-buru dan kurang pertimbangan.

Penulis percaya seorang mahasiswa tidak ingin menjadi pemimpin jika belum berupaya berfikir atau bersedia ke arah itu.

Sudah tentu mereka berganjak dalam satu ruang kematangan iaitu berani mendepani risiko masa depan. Namun, halangan biasa kepada kematangan mahasiswa adalah emosi dan keinginan melampau yang melangkaui rasionalisme.

Oleh itu, idealisme yang mereka zahirkan kadangkala mencacatkan norma yang diterima umum masyarakat.

Kita berbangga kerana bermula di peringkat universiti, mereka cenderung menjadi pemimpin kerana tidak ramai yang dilahirkan berbakat untuk menjadi seorang pemimpin.

Oleh itu, bagi mahasiswa yang kini bergelar pemimpin, mereka memilih pemimpin sebagai wajah, oleh itu harus bertanggungjawab atas pilihan dibuat.

Seorang pemimpin pelajar bukan sekadar mahir bertanggungjawab, malah lebih penting keupayaan mempertimbangkan sesuatu persoalan bersandarkan ilmu yang ada untuk merealisasikan tanggungjawab dipikul.

Syarat utama adalah dengan adanya ilmu pengetahuan mencukupi. Ilmu yang mencukupi bagi memastikan hasil tindakan tidak tersasar jauh daripada pemikiran seorang pemimpin.

Bagi seorang pemimpin, terlepasnya satu elemen ilmu yang berpotensi mencetuskan perubahan besar kepada masa depan, ia kerugian kepada dirinya.

Rasionalisme pemikiran dalam diri seorang pemimpin mahasiswa harus diusahakan melalui ilmu yang sahih agar cara berfikir membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak.

Pemimpin mahasiswa perlu sentiasa membina personaliti supaya terus konsisten menjadi seorang pemimpin berkarisma, disegani dan dihormati.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata: "Membentuk sesuatu matlamat atau wawasan adalah perkara amat mudah. Siapa saja boleh mencipta cita-cita besar. Tapi di antara cita-cita atau wawasan dengan kemampuan mencapainya terdapat lurah yang amat dalam dan lebar serta rintangan amat besar."


  • Penulis Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia.


  • Terima kasih kerana membaca Pena Kampus: Tanggungjawab YB kampus. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

    « Previous
    « Prev Post
    Next »
    Next Post »

    Tips Berkaitan:



    0 Komen:

    Catat Ulasan